Dalam mengharungi kehidupan yang serba mencabar dengan seribu satu
dugaan, tidak pernah melepaskan seseorang muslim daripada tertimpa bala
bencana. Maklumlah kita makhluk pendosa; tidak terlepas dari kelalaian.
Kesakitan adalah salah satu dari dugaan hidup. Bezanya hanyalah sama ada
kecil atau besar.
Ada orang
ditimpa ujian kehancuran terhadap hartanya. Namun, tidak sedikit pula
bagi seseorang yang diuji dengan kesakitan terhadap dirinya sendiri. Ada
yang terlantar bertahun-tahun kerana mengalami penyakit yang ganjil.
Begitu pula ada yang terpisah dengan anak atau ahli keluarga begitu
lama. Semuanya mendera jiwa. Sakit.
Namun, apakah kesakitan baik
yang menimpa anggota tubuh badan, harta atau jiwa itu tanda Allah murka
kepadanya? Atau mungkinkah ia tanda Allah sedang menghapus dosanya?
Barangkali ia merupakan jalan untuk sampai kepada maqam tertinggi di
sisi Allah?
Sedangkan, Allah berfirman di dalam surah At-Tagaabun, ayat 11 yang bermaksud:
“Tidak
ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan
dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan
memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan
tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap
sesuatu”.
Penceramah bebas, Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, berkata
sakit atau musibah yang terkena kepada seseorang adalah datangnya
daripada Allah SWT. Tujuannya pelbagai dan mempunyai banyak hikmah untuk
direnungi.
Menghapus dosa
Menurutnya,
bagi seorang yang pendosa, musibah atau sakit yang ditanggungnya
merupakan salah satu jalan untuk Allah menghapuskan setiap dosa
hamba-Nya. Bahkan ia seharusnya dilihat sebagai satu terapi untuk
menggugurkan kesalahan dan noda pada diri anak Adam.
“Sebagai
manusia biasa, sudah tentu kita tiada terlepas daripada melakukan
kesalahan sama ada secara sengaja atau tidak. Sedangkan dosa itu
sebenarnya menjauhkan diri kita dengan Allah. Jadi hikmah diturunkan
kesakitan atau bala bencana itu adalah sebagai cara untuk Allah
menghapuskan dosa kita berkenaan,” katanya.
Katanya, ia bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidaklah
seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah
akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang
menggugurkan daun-daunnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
“Bahkan
di dalam satu lagi riwayat, Rasulullah bersabda bahawa dengan hanya
tertusuk duri sekalipun, Allah bersedia untuk meninggikan darjat
seseorang itu dan menghapuskan satu kesalahan dirinya.
“Jadi,
jangan pandang sakit itu sebagai penderaan dan jangan pula mudah
berburuk sangka kepada Allah. Bahkan sebaiknya kesakitan atau musibah
itu dipandang sebagai nikmat untuk Allah membersihkan diri kita daripada
segala dosa dan noda,” ujarnya.
Sakit yang meninggikan darjat
Zaharuddin
berkata, selain untuk menghapuskan dosa, kesakitan atau bala bencana
yang menimpa seseorang juga merupakan jalan untuk Allah meninggikan
darjat seorang hamba-Nya. Walaupun ia mungkin dilihat sebagai teruk di
mata manusia, namun hikmahnya hanya Allah yang mengetahui.
Menurutnya,
kisah Nabi Ayub ketika bersabar menerima ujian kesakitan terhadap
dirinya merupakan contoh yang baik. Betapa Nabi Ayub mempunyai kedudukan
mulia di sisi Allah, namun masih mampu berbaik sangka kepada Rabb.
“Sudahlah
dirinya ditimpa penyakit, anak-anak dan isteri juga menjauhinya. Namun
Nabi Ayub tetap bersabar menerimanya sehinggalah Allah mengembalikan
semula kesihatan kepadanya dan ditinggikan pula darjat di sisi-Nya.
“Jadi,
sakit itu dan kesabaran Nabi Ayub dalam melalui ujian Allah berkenaan
punya hikmah yang besar. Bukankah semua itu datangnya daripada Allah dan
kepada Allah jua harus dikembalikan semuanya?” ujarnya.
Sakit rohani punca kejahatan
Seorang
manusia apabila mengalami sakit fizikal, pasti akan bertemu dengan
doktor untuk mendapatkan rawatan. Bahkan jika lebih parah, doktor pakar
akan menjadi tempat rujukan. Selepas itu barulah rawatan dan ubat
diberikan bagi menyembuhkan sakit berkenaan.
Bagaimana pula dengan
sakit batin? Kesakitan yang tidak dapat dilihat pada luaran. Namun ia
bagaikan membarah di dalam dada. Ternyata bukan kecil sakitnya itu.
Bahkan mampu merosakkan seluruh anggota badan yang lain.
Zaharuddin
ketika mengulas mengenainya berkata, penyakit batin seperti dendam,
menipu, bongkak serta pelbagai lagi adalah berpunca daripada hati yang
sakit. Bahkan ada yang sampai ke peringkat hatinya terlalu kotor
sehingga menggelapkan ruang di dalamnya.
“Ia adalah penyakit
rohani. Berpunca daripada dosa yang terlalu banyak sehingga menggelapkan
hatinya untuk melakukan kebaikan. Hatinya mudah melakukan kejahatan.
Kemudian mendorong anggota badan melaksanakan agenda jahatnya itu.
Begitu juga dengan makanan yang diambil dan dimasukkan ke dalam perut
sehingga membentuk daging. Ada orang yang mengambil makanan daripada
sumber yang haram. Ia sekaligus menggelapkan hati.
“Bahkan ada
orang yang tidak tahu bahawa dirinya berdosa. Membiarkan seluruh anggota
badan melakukan maksiat sehingga hati sudah tidak mampu melihat cahaya
Islam yang sebenar,” ujarnya.
Taubat menyucikan dosa dan noda
Menurut
Zaharuddin, taubat nasuha dan penyelesalan terhadap dosa-dosa yang
dilakukan selama ini dapat menyelamatkan rohani seseorang daripada terus
mengalami kesakitan yang parah.
Katanya, Allah sentiasa membuka
ruang kepada hamba-hamba-Nya yang berlumpur dosa serta noda untuk
kembali membersihkan diri mereka dengan cara bertaubat. Ujarnya, ini
sesuai dengan sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Setiap anak Adam
itu berdosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah yang memohon
taubat kepada Tuhannya” (Hadis riwayat At-Tarmizi).