Monday 8 June 2015

.L.A.L.A.N.G.


Apabila kita menyentuh sifat jati diri, lazimnya sifat tersebut dibandingkan dengan lalang, iaitu sejenis tumbuhan yang hidup di merata tempat. “Jangan jadi seperti lalang yang melentuk ke sana ke sini apabila ditiup angin. Kita perlu memiliki jati diri yang tidak mudah melentuk umpama lalang!”, demikian pesanan yang selalu diberi.

Akan tetapi kali ini berbeza, Ahmad tidak akan membandingkan sifat jati diri dengan lalang. Sebaliknya Ahmad akan mengumpamakan jati diri dengan lalang. Ya! Untuk Remaja Islam,kita harus memiliki jati diri, kita perlu mencontohi lalang. Agar kita lebih memahami bagaimana sifat jati diri boleh diumpamakan atau dicontohi dengan merujuk kepada lalang, mungkin di antara pembaca ada yang tidak menyedarinya.

Analogi lalang dengan tarbiyah? Sekuat mana pembuktiannya. Apabila memerhatikan lalang dipetang senja kelmarin, teringat kepada sahabat-sahabat di Kolej Islam As-Sofa, Ampang. Dikesempatan ini Ahmad selaku Alumni KIS ingin mengucapkan kepada seluruh pelajar baharu intake June 2015 dengan lafaz "Ahlan wa sahlan wa marhaban bikum! Marhaban Bi Wasiyati Rasulillah saw ke dalam keluarga AS-SOFA, semoga dengan kehadiran kalian mampu menguatkan lagi benteng ASWJ, dan mampu merealisasikan harapan Syiekhna iaitu Dato' Syiekh Muhammad Fuad Bin Kamaluddin Al-Muhammadi untuk melahirkan kader-kader Ahli Sunnah Wal Jamaah". 
 


     Berbalik kepada tajuk kita, diri ini terfikir seketika. Semak. Tidak berguna. Tetapi apabila berfikri sejenak, memerhati lalang apabila melentok ke kiri dan ke kanan dibawa oleh arus angin. Terbit bayangan tersirat daripada alam ciptaan ALLAH yang selalu berkait rapat dan tidak pernah lari dengan kehidupan manusia.
Lalang mempunyai kekuatan yang tidak ada pada tumbuhan lain. Ia hidup secara berjemaah dan kelihatan indah mendatari lapangan bumi dan gunung-ganang. Kehadirannya memberi perlindungan buat jemaah serangga di bawahnya. Memberi manfaat yang besar yang tidak dapat dilihat oleh mata. Memang lalang sering dipijak dan disakiti, tapi ia akan cepat bangkit dan menyembuh dengan sendiri. Ia tidak memerlukan kudrat makhluk lain untuk hidup. Ia berdikari dalam kehidupannya. Tawakalnya hanya pada ALLAH.
Lalang juga boleh dikategorikan sebagai tumbuhan yang tahan lasak. Walaupun ditiup angin taufan sekalipun. Lalang tidak sesekali akan tumbang. Hanya melepaskan kabus-kabus putih keindahan di pucuknya. Yang berterbangan mengikut arus angin. Tetapi lalang itu sendiri tetap teguh di situ. Memperbaiki struktur yang bengkok tadi akibat ditiup angin dan kembali kepada asal semula, mungkin ini perumpamaan seorang Murabbi yang mendidik tanpa pernah kenal erti penat walau dimaki, caci, fitnah dek memperjuangkan ASWJ, beliau ia tetap gagah.
Pokok kayu yang besar, yang memiliki akar yang hebat,dikagumi makhluk di sekelilingnya,namun apabila ditebang bertukar menjadi tunggul yang tidak berguna. Lalang yang kerdil, menumpang atas bumi Tuhan, namun apabila ditebas,tetap mara teguh berusaha untuk bangun daripada kesakitan dan menjadi entiti yang lebih kuat berbanding sebelumnya. Dapat tumbuh di mana-mana,di pergunungan, dataran, tepi jalan dan di mana sahaja tidak mengira bentuk muka bumi. Kehadirannya memberikan manfaat buat mereka di sekelilingnya, mengembalikan nutrien dalam tanah dan menghijaukan bumi. Ia juga melindungi tanah ketika hujan supaya tanah kekal terpelihara di tempatnya.
Pentarbiyahan daripada lalang memberikan kita kesedaran tentang hakikat kehidupan seorang pejuang.Setiap makhluk yang diciptakan mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Meliuk lintuk lalang bukan bermakna tiada pendirian,tetapi pandai menyesuaikan diri dengan arus semasa dengan pendekatan yang terbaik. Kita hidup secara bermasyarakat,dan saling melindungi antara satu sama lain. Walaupun kudrat lalang begitu terbatas,pengorbanannya menahan hujan daripada menimpa tanah harus dicontohi. Umpama ibu melindungi anaknya. Umpama pemimpin melindungi rakyatnya. Umpama sahabat melindungi temannya. Jadilah insan yang sentiasa bersyukur dengan apa yang ada dan merendah diri di atas muka bumi. Walau berkali-kali kita disakiti,segera bangkit dan teruslah menyebarkan manfaat dan berbakti. Kerana setiap perkara yang dilakukan bukanlah diukur dengan mata manusia tetapi dengan piawaian ALLAH seikhlas hati. Jiwa-jiwa yang ditarbiah tidak akan luntur dan akan terus menegakkan yang hak. Analoginya mudah sahaja. Perhatikan lalang yang tiup angin taufan. Jadilah kita seperti lalang,sahabatku.

~Apabila sesuatu perkara dilakukan kerana dunia, maka ia hanya bersifat tidak kekal dan sementara dan apabila sesuatu dilakukan kerana ALLAH, maka ia akan bersifat teguh dan ampuh~
Selamat datang sekali lagi kepada adik-adik baru seperjuangan bagi meneruskan rantai perjuangan ASWJ ini,dan jadikan diri kita seumpama lalang. Semoga setiap kali pembaharuan perjanjian kita kepada ALLAH akan menguatkan lagi jiwa dan keikhlasan kita dalam perjuangan di jalan ini. Di mana sahaja kita berada, ke mana sahaja kita pergi, sudah agak pasti kita akan menemui lalang. Jangan berpaling begitu sahaja, sebaliknya renungilah ia dan jadikanlah ia sebagai sumber iktibar mengukuhkan jati diri kita sebagai umat Islam. Sebagai manusia kita sering lupa atau terlanjur, maka lalang sentiasa ada untuk mengingatkan semula kejatian diri kita. Ingat! ALLAH tidak mencipta sesuatu untuk sia-sia melainkan ia memiliki hikmah dan manfaat untuk kita.

No comments:

Post a Comment