Dalam dunia ini, kita tidak punya sesiapa kecuali diri
sendiri.. tetapi dalam kita bersendiri, kita beruntung kerana mempunyai seorang
sahabat yang memahami kita.
Sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran
seorang sahabat,begitu juga dia. Tetapi kita sering terlupa akan hal itu. Kita
cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan kita. Kita rasa dikhianati
bila dia tidak menepati janjinya. Kita terkadang kurang memberi dia peluang
untuk menerang keadaannya.Bagi kita, itu alasannya untuk menutup kesilapan dan
membela diri.Kita terlupa, kita juga pernah membiarkan dia
ternanti-nanti....kerana kita juga ada janji yang tidak ditepati. Kita beri
beribu alasan, 'memaksa'dia menerima alasan kita. Waktu itu, terfikirkah kita
tentang perasaannya??? Seperti kita, dia juga tahu rasa kecewa....tetapi kita
sering terlupa.Untungnya mempunyai seorang kawan yang sentiasa di sisi kita
pada waktu kita memerlukan dia.Dia mendengar luahan perasaan kita, segala rasa
kecewa dan ketakutan, harapan dan impian kita luahkan, dia memberi jalan
sebagai laluan penyelesaian masalah. Selalunya kita terlalu asyik bercerita
tentang diri kita hingga kadang-kadang terlupa kawan kita juga ada cerita yang
ingin dikongsi bersama kita.Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan
tentang rasa bimbangnya, rasa takutnya? Pernahkah kita menenangkan dia
sebagaimana dia pernah menyabarkan kita? Ikhlaskah kita mendengar tentang
kejayaan dan berita gembiranya? Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya
seperti mana dia meniup semangat setiap kali kita merasa kecewa dan menyerah
kalah?
Dapatkah kita yakinkan dia bahawa kita boleh dipercayai,
kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah, agar tidak
rebah? Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia sandarkan harapan? Sesekali jadilah
kawan yang mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami
hati dan perasaan kawan, kerana dia juga seorang manusia; dia juga ada rasa
takut, ada rasa...bimbang, sedih dan kecewa.Dia juga ada kelemahan dan dia juga
perlukan kawan sebagai kekuatan. Jadilah kita kawannya itu. Kita selalu melihat
dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangka.
Disebalik senyumannya itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingin
diluahkan,disebalik kesenangannya,mungkin tersimpan seribu kekalutan, kita
tidak tahu.. tetapi jika kita cuba
jadi sahabat seperti dia, mungkin kita akan tahu.
Sekadar renungan bersama, tiada kaitan
dengan isu lain ... Terima Kasih padamu sahabatku..maafkanlah diriku..