Sunday 31 August 2014

Sakit Buat Pendosa

Dalam mengharungi kehidupan yang serba mencabar dengan seribu satu dugaan, tidak pernah melepaskan seseorang muslim daripada tertimpa bala bencana. Maklumlah kita makhluk pendosa; tidak terlepas dari kelalaian. Kesakitan adalah salah satu dari dugaan hidup. Bezanya hanyalah sama ada kecil atau besar.

Ada orang ditimpa ujian kehancuran terhadap hartanya. Namun, tidak sedikit pula bagi seseorang yang diuji dengan kesakitan terhadap dirinya sendiri. Ada yang terlantar bertahun-tahun kerana mengalami penyakit yang ganjil. Begitu pula ada yang terpisah dengan anak atau ahli keluarga begitu lama. Semuanya mendera jiwa. Sakit.
Namun, apakah kesakitan baik yang menimpa anggota tubuh badan, harta atau jiwa itu tanda Allah murka kepadanya? Atau mungkinkah ia tanda Allah sedang menghapus dosanya? Barangkali ia merupakan jalan untuk sampai kepada maqam tertinggi di sisi Allah?
Sedangkan, Allah berfirman di dalam surah At-Tagaabun, ayat 11 yang bermaksud:
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.
Penceramah bebas, Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, berkata sakit atau musibah yang terkena kepada seseorang adalah datangnya daripada Allah SWT. Tujuannya pelbagai dan mempunyai banyak hikmah untuk direnungi.
Menghapus dosa
Menurutnya, bagi seorang yang pendosa, musibah atau sakit yang ditanggungnya merupakan salah satu jalan untuk Allah menghapuskan setiap dosa hamba-Nya. Bahkan ia seharusnya dilihat sebagai satu terapi untuk menggugurkan kesalahan dan noda pada diri anak Adam.
“Sebagai manusia biasa, sudah tentu kita tiada terlepas daripada melakukan kesalahan sama ada secara sengaja atau tidak. Sedangkan dosa itu sebenarnya menjauhkan diri kita dengan Allah. Jadi hikmah diturunkan kesakitan atau bala bencana itu adalah sebagai cara untuk Allah menghapuskan dosa kita berkenaan,” katanya.
Katanya, ia bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

“Bahkan di dalam satu lagi riwayat, Rasulullah bersabda bahawa dengan hanya tertusuk duri sekalipun, Allah bersedia untuk meninggikan darjat seseorang itu dan menghapuskan satu kesalahan dirinya.
“Jadi, jangan pandang sakit itu sebagai penderaan dan jangan pula mudah berburuk sangka kepada Allah. Bahkan sebaiknya kesakitan atau musibah itu dipandang sebagai nikmat untuk Allah membersihkan diri kita daripada segala dosa dan noda,” ujarnya.
Sakit yang meninggikan darjat
Zaharuddin berkata, selain untuk menghapuskan dosa, kesakitan atau bala bencana yang menimpa seseorang juga merupakan jalan untuk Allah meninggikan darjat seorang hamba-Nya. Walaupun ia mungkin dilihat sebagai teruk di mata manusia, namun hikmahnya hanya Allah yang mengetahui.
Menurutnya, kisah Nabi Ayub ketika bersabar menerima ujian kesakitan terhadap dirinya merupakan contoh yang baik. Betapa Nabi Ayub mempunyai kedudukan mulia di sisi Allah, namun masih mampu berbaik sangka kepada Rabb.
“Sudahlah dirinya ditimpa penyakit, anak-anak dan isteri juga menjauhinya. Namun Nabi Ayub tetap bersabar menerimanya sehinggalah Allah mengembalikan semula kesihatan kepadanya dan ditinggikan pula darjat di sisi-Nya.
“Jadi, sakit itu dan kesabaran Nabi Ayub dalam melalui ujian Allah berkenaan punya hikmah yang besar. Bukankah semua itu datangnya daripada Allah dan kepada Allah jua harus dikembalikan semuanya?” ujarnya.
Sakit rohani punca kejahatan
Seorang manusia apabila mengalami sakit fizikal, pasti akan bertemu dengan doktor untuk mendapatkan rawatan. Bahkan jika lebih parah, doktor pakar akan menjadi tempat rujukan. Selepas itu barulah rawatan dan ubat diberikan bagi menyembuhkan sakit berkenaan.
Bagaimana pula dengan sakit batin? Kesakitan yang tidak dapat dilihat pada luaran. Namun ia bagaikan membarah di dalam dada. Ternyata bukan kecil sakitnya itu. Bahkan mampu merosakkan seluruh anggota badan yang lain.
Zaharuddin ketika mengulas mengenainya berkata, penyakit batin seperti dendam, menipu, bongkak serta pelbagai lagi adalah berpunca daripada hati yang sakit. Bahkan ada yang sampai ke peringkat hatinya terlalu kotor sehingga menggelapkan ruang di dalamnya.
“Ia adalah penyakit rohani. Berpunca daripada dosa yang terlalu banyak sehingga menggelapkan hatinya untuk melakukan kebaikan. Hatinya mudah melakukan kejahatan. Kemudian mendorong anggota badan melaksanakan agenda jahatnya itu. Begitu juga dengan makanan yang diambil dan dimasukkan ke dalam perut sehingga membentuk daging. Ada orang yang mengambil makanan daripada sumber yang haram. Ia sekaligus menggelapkan hati.
“Bahkan ada orang yang tidak tahu bahawa dirinya berdosa. Membiarkan seluruh anggota badan melakukan maksiat sehingga hati sudah tidak mampu melihat cahaya Islam yang sebenar,” ujarnya.
Taubat menyucikan dosa dan noda
Menurut Zaharuddin, taubat nasuha dan penyelesalan terhadap dosa-dosa yang dilakukan selama ini dapat menyelamatkan rohani seseorang daripada terus mengalami kesakitan yang parah.
Katanya, Allah sentiasa membuka ruang kepada hamba-hamba-Nya yang berlumpur dosa serta noda untuk kembali membersihkan diri mereka dengan cara bertaubat. Ujarnya, ini sesuai dengan sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Setiap anak Adam itu berdosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah yang memohon taubat kepada Tuhannya” (Hadis riwayat At-Tarmizi).

Sunday 17 August 2014

Kesusahan Itu Hadiah

Assalamualaikum


Hidup kalau tiada cabaran dan pengalaman memang rugi sesangat. Sebab hanya dengan cabaran dan mengalaminya sendiri barulah kita dapat merasa, memahami, dan menjiwai hati kita sendiri dan juga orang lain. Jika kehidupan kita sekarang selalu senang, sentiasa rasa bahagia dan sentiasa dibantu sepatutnya kita berasa resah. Takut bila tsunami melanda tanpa memberi amaran, kita terumbang-ambing tanpa daya.

Akan tetapi ada yang tidak pernah menyedari bahawa setiap dugaan yang menimpa sebenarnya untuk membuka minda dan hati kita dengan lebih luas. Mereka berasa tidak puas hati dan merungut serta menyesali sesuatu yang sudah berlalu. Malah mereka memberontak dan menyalahkan orang lain atas apa yang terjadi. Mereka tetap ingin menang dan memiliki apa yang tidak ditakdirkan untuknya tanpa mengetahui bahawa sesuatu yang disukainya itu sebenarnya amat merbahaya untuknya akan datang.

Jika dulu kita dilahirkan dalam kehidupan yang susah dan tidak bahagia seperti orang lain, kita sepatutnya berbangga kerana kita dapat mengharunginya. Ketika orang lain bergembira kita hanya mampu melihat, ketika orang lain berbahagia kita hanya mampu tersenyum hambar. Saat itu diri dan hati kita telah menjadi kebal malah lebih kuat untuk mengubah kehidupan.

Andai suatu hari dugaan melanda lagi, kita tidak mudah dihanyutkan arus malah hati yang cekal sudah siap sedia menahannya. Bibir hanya tersenyum hambar dengan hati yang tenang tanpa secubit rasa tertekan. Hal-hal kecil dalam kehidupan bagaikan semut api merah, sekali pijak sudah mati. Orang lain yang sentiasa senang bagaimana pula? Mereka tidak akan dapat membuat penyelesaian sendiri tanpa bantuan orang lain. Mereka lemah tidak bermaya sehinggalah setiap dugaan yang menimpa bertimpa-timpa itu mematangkan dirinya.

Beruntunglah jika dari awal kita hidup menderita, mungkin suatu hari dengan kesungguhan dan pertolongan dari Allah kita akhirnya dapat merasa apa itu kesenangan dan kebahagiaan. Sentiasalah bersangka baik, berdoa, dan berusaha menggapai impian.


Thanks 4 reading my entry!

Saturday 2 August 2014

Khas Buat Sahabat-sahabatku

Amat sukar dicari apa itu sahabat
Inikan pula sahabat sejati
Tetapi sepanjang perjalanan kehidupan ini
Aku mula mengerti siapa sahabat
Sahabat yang sentiasa membimbing aku ke jalanNya
Aku gembira, rasa hiba tiada dirasa
Jika ada sahabat bersamaku
Sejak dulu dibangku sekolah lagi
Aku bersama-sama kalian
menuntut ilmu tiada penghabisan
Disitu aku mengenali yang mana kawan dan yang mana lawan
Bukan aku memilih tapi aku cuba melakar corak kehidupan
agar aku dapat menjaga akhlak serta disiplin diri tatkala jauh dimata ibu dan ayah
Dan aku yakin kerna sahabat yang baik dapat membimbing aku ke jalan Ilahi
Dan kian dewasanya aku
Aku bertemu dengan lebih ramai Sahabat
Hidupku penuh warna
Bagai pelangi yang cantik coraknya
Menghiasi awan biru kehidupanku
Aku hargai setiap mereka yang hadir mewarnai dan menghiasi keindahanku
Terima kasih kepada mereka semua kerena tidak jemu bersamaku
Dari dulu, kini dan hingga keakhirnya
Moga kita sentiasa bersama hanya keranaNya
Disini sahabatku semuaya yang kukenali
walau dimanapun kita kenali
Kalian sentiasa bertahta disanubariku
Aku memohon kemaafan atas segala salah silapku sepanjang perkenalan kita
Aku tahu banyak salahku dan banyak jua kesalahanku selaku
sahabat dan temanmu, maafkan diri yang tidak pernah sempurna ini.
Aku kian merindui sahabat yang jauh dariku
Teringat kenangan bersama yang telah kita coretkan
Yang kininya hanya bisa dikenang
Aku harap kalian juga masih terkenang masa lalu kita bersama
suka dan duka, yang tidak mungkin pernah padam dari ingatan
Biar ia bersemi untuk selamanya sahabatku.

Di hari lebaran yang  menjelma
Ku harap kalian akan berbahagia bersama keluarga, sanak saudara tercinta


Aku dikejauhan ini sentiasa mendoakan
kehidupan kita mendapat rahmat dan keberkatanNya
Semoga akan masih ada Ramadhan buat kita
Yang merupakan madrasah tarbiyah kita
Semoga kita semua istiqamah dengan amalan-amalan yang telah terlatih dalam madrasah ini
dan semoga sinaran kehidupan kita lebih terpancar untuk hari-hari yang menjelma

Selamat Hari Raya 'Eidul Fitri, Mohon Maaf Zahir & Batin.

تقبل الله منا ومنكم

Pesan Ulama'; Semoga keriangan kita pada hari ini adalah kerana ALLAH, bukan kerana makhluk.

Kullu 'am wa antum bikhair.



Tulus Ikhlas Daripada Ahmad Fahmi Azalee sekeluarga
Untuk sesiapa yang pernah mengenali diri ini
Terima Kasih atas kesudian menjadi sebahagian daripada kehidupanku
yang telah berada dihatiku sejak sekian lama
Moga persahabatan kita berkekalan hingga ke hujung nyawa.