Monday 24 December 2012

Erti Persahabatan



Dalam dunia ini, kita tidak punya sesiapa kecuali diri sendiri.. tetapi dalam kita bersendiri, kita beruntung kerana mempunyai seorang sahabat yang memahami kita.
Sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran seorang sahabat,begitu juga dia. Tetapi kita sering terlupa akan hal itu. Kita cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan kita. Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya. Kita terkadang kurang memberi dia peluang untuk menerang keadaannya.Bagi kita, itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri.Kita terlupa, kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti....kerana kita juga ada janji yang tidak ditepati. Kita beri beribu alasan, 'memaksa'dia menerima alasan kita. Waktu itu, terfikirkah kita tentang perasaannya??? Seperti kita, dia juga tahu rasa kecewa....tetapi kita sering terlupa.Untungnya mempunyai seorang kawan yang sentiasa di sisi kita pada waktu kita memerlukan dia.Dia mendengar luahan perasaan kita, segala rasa kecewa dan ketakutan, harapan dan impian kita luahkan, dia memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah. Selalunya kita terlalu asyik bercerita tentang diri kita hingga kadang-kadang terlupa kawan kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama kita.Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbangnya, rasa takutnya? Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita? Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya? Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya seperti mana dia meniup semangat setiap kali kita merasa kecewa dan menyerah kalah?
Dapatkah kita yakinkan dia bahawa kita boleh dipercayai, kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah, agar tidak rebah? Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia sandarkan harapan? Sesekali jadilah kawan yang mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan kawan, kerana dia juga seorang manusia; dia juga ada rasa takut, ada rasa...bimbang, sedih dan kecewa.Dia juga ada kelemahan dan dia juga perlukan kawan sebagai kekuatan. Jadilah kita kawannya itu. Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangka. Disebalik senyumannya itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan,disebalik kesenangannya,mungkin tersimpan seribu kekalutan, kita tidak tahu.. tetapi jika kita cuba jadi sahabat seperti dia, mungkin kita akan tahu.

Sekadar renungan bersama, tiada kaitan dengan isu lain ... Terima Kasih padamu sahabatku..maafkanlah diriku..

Tuesday 11 December 2012

SEJAUH MANA DOSA ZINA TANGAN, KAKI, TELINGA, MATA, LIDAH, HATI?




Ibnu Mas’ud mengatakan bahawa:
"فإن صدقه بفرجه كان زانيا وإلا فهو اللمم" أخرجه البيهقي في شعب الإيمان (5/393، رقم 7060
Maksudnya: “Jika dia mengiyakannya (kehendak berzina) dengan kemaluannya maka dia menjadi penzina, jika tidak maka itu adalah Al-Lamam (dosa kecil)”. Dikeluarkan oleh Imam Baihaqi dalam kitabnya Shu’abul Iman (5/393, no 7060).

Kata Ibnu Abbas pula:
"مَا رَأَيْتُ شَيْئًا أَشْبَهَ بِاللَّمَمِ مِمَّا قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ عَن النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنْ الزِّنَا أَدْرَكَهُ لَا مَحَالَةَ وَزِنَا الْعَيْنِ النَّظَرُ وَزِنَا اللِّسَانِ النُّطْقُ وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ أَوْ يُكَذِّبُهُ)". رواه البخاري (8/67، رقم 5774) ومسلم (8/52، رقم 4801).
“Aku tidak melihat sesuatu yang lebih menyerupai Al-Lamam itu kecuali daripada kata-kata Abu Hurairah daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam (Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian zina yang tidak dapat tidak berlaku ke atas anak-anak Adam. Zina mata itu adalah pandangan, zina lidah itu adalah ucapan, nafsu mengharap dan berkeinginan, dan kemaluan itu mengiyakan atau mendustakannya)”. Riwayat Imam Bukhari (8/67, no 5774), dan Imam Muslim (8/52, no 4801).

Apa yang dimaksudkan dengan Al-Lamam??? Al-Lamam bermaksud dosa kecil yang tidak akan selamat daripadanya kecuali mereka yang dilindungi dan dijaga oleh Allah. Ibnu Mas’ud, Abu Said, Huzaifah, dan Masruq berpendapat bahawa: Al-Lamam itu ialah selain daripada bersetubuh, sama ada ciuman, sentuhan, pandangan, dan baringan. (Rujuk Tafsir Al-Qurthubi, jilid 17, m/s 106, cetakan Dar Alamil kutub).

Perkataan Al-Lamam ini disebut dalam firman Allah dalam Al-Qur’an, Surah An-Najm , ayat ke-32 :

وَلِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ لِيَجْزِيَ الَّذِينَ أَسَاءُوا بِمَا عَمِلُوا وَيَجْزِيَ الَّذِينَ أَحْسَنُوا بِالْحُسْنَى
 (31) الَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ إِلَّا اللَّمَمَ إِنَّ رَبَّكَ وَاسِعُ الْمَغْفِرَةِ ......                      
Maksudnya: Dan bagi Allah segala yang di langit dan di bumi, supaya dia membalas mereka yang berbuat buruk dengan apa yang mereka kerjakan, dan membalas mereka yang baik dengan kebaikan. Mereka yang menjauhi dosa-dosa besar dan perkara-perkara keji kecuali Al-lamam, Sesungguhnya Tuhan kamu Maha Luas keampunannya…

Contoh daripada hadith ini mungkin boleh membantu soal pengampunan dosa Al-Lamam:
نَّ رُجلا أصَابَ من امرأَةٍ قُبْلَة، فأتَى النبيَّ صلى الله عليه وسلم، فذكر ذلك له، فَنزلت ((وأَقِمِ الصَّلاةَ طَرَفَيِ النَّهارِ وَزُلَفا مِنَ اللَّيْلِ، إنَّ الْحَسَناتِ يُذْهِبْنَ السَيِّئاتِ ذلكَ ذِكْرى لِلذَّاكِرين)) [ هود : 116]. فقال الرجل : يا رسول اللّه، أَلِيَ هذه ؟ قال: «لمنْ عمل بها من أُمَّتي». أخرجه البخاري (1/140)، ومسلم (8/101).
Maksudnya: Seorang lelaki telah mencium seorang perempuan, lalu dia datang bertemu Nabi dan menceritakan perkara itu kepada Nabi”. Lalu turunlah ayat ((Dan dirikanlah solat pada sebahagian hari dan hujung malam, sesungguhnya kebaikan itu akan menghapuskan keburukan, itu adalah ingatan kepada mereka yang mengingati)) [Surah Hud, ayat ke-116]. Lalu lelaki tersebut berkata: “Wahai Rasulullah, adakah bagiku (sahaja) hal ini? Sabda Nabi: (Bahkan bagi orang melakukannya daripada umatku). Riwayat Imam Bukhari (1/140) dan Imam Muslim (8/101).

Lelaki tersebut telah melakukan zina kecil, iaitu mencium seorang perempuan bukan mahram. Bagaimana untuknya menghapuskan dosa zina kecil tersebut? Jawabnya adalah dengan berbuat kebaikan, insyaAllah kebaikan yang dibuat itu akan menghapuskan dosa yang dilakukan.

Wednesday 5 December 2012

Remaja Zina

Assalamualaikum ya sahabatku, malam ini saya terasa tergerak hati, jiwa dan raga untuk memenuhi entry kali ini tentang ZINA. Sudi-sudilah untuk mengisi masa dengan membaca entry saya kali ini. Diriwayatkan dari Sahl bin Sa’d ra.: Rasulullah Saw pernah bersabda, “siapapun yang dapat menjaga lidah dan kemaluannya, aku jamin ia akan masuk surga”. Jadi ayuhhhhh!!!! kita pelihara dengan sebaik mungkin. INSYAALLAH.

“Apabila saya terlibat dengan kerja dakwah, barulah saya tahu saya telah banyak melakukan zina hati,” kata seorang pemuda. “Itulah dulu pun saya ada kekasih, dan kami saling cinta menyintai dan merancang untuk berkahwin apabila sampai masanya, tapi apabila saya tahu hubungan saya dengan dia tu menyebabkan saya dan dia terjebak dengan zina hati maka saya putuskan” Seringkali saya mendengar kata-kata seperti itu keluar melalui kata-kata atau tulisan daripada mereka yang melibatkan diri dengan gerak kerja persatuan-persatuan Islam atau kerja-kerja dakwah remaja. Pada mulanya saya buat tak kisah atau dengan kata lain buat tak pot kerana saya menganggap kes-kes itu sebagai kes terpencil yang biasanya berlaku di zaman sekolah menengah. Biasalah tu budak-budak sekolah yang baru dalam proses pra-matang kepada matang, baru nak up orang kata, pedulikanlah. Tapi apabila ada pelajar di peringkat universiti yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan mirip sebegitu, saya mula tertanya-tanya dan bersyak wasangka, “eh takkanlah pelajar universiti yang bakal keluar sebagai pemimpin masyarakat pun tak faham-faham lagi, mustahillah”. Tapi ternyata, sangkaan saya itu meleset sama sekali. Mimpi buruk melanda diri setelah melancong ke laman-laman web internet yang mempromosikan keislamikkan mereka. Saya terkejut apabila mendapati ketempangan yang cukup serius dalam memahami apa yang diistilahkan sebagai zina hati.

Dalam sebuah hadis maksudnya: (Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian zina yang tidak dapat tidak berlaku ke atas anak-anak Adam. Zina mata itu adalah pandangan, zina lidah itu adalah ucapan, nafsu mengharap dan berkeinginan, dan kemaluan itu mengiyakan atau mendustakannya). Hadith riwayat Bukhari (6/2438, no 6238), Muslim (4/2046, no 2657), Abu Daud (2/246, no 2152), dan Imam Baihaqi dalam Shu’ab Iman (4/365, no 5428).
 

Dan dalam riwayat Imam Muslim: (Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian zina yang tidak dapat tidak berlaku ke atas anak-anak Adam. Mata itu zinanya pandangan, telinga itu zinanya mendengar, lidah itu zinanya ucapan, tangan itu zina melakukan kekerasan, kaki itu zinanya langkah, dan hati itu mengharap dan berkeinginan, dan mengiyakannya kemaluan atau mendustakannya)
Hadith pertama menggunakan istilah zina nafsu, manakala hadith yang kedua pula menggunakan istilah zina hati. Hadith inilah yang menjadi hujah tentang wujudnya zina yang dinamakan dengan zina hati dan tidak syak lagi hadithnya adalah hadith yang sahih.
Tidak dipertikaikan kewujudan istilah zina hati dan asasnya dalam Islam, tetapi apa yang dipertikaikan adalah kegagalan ramai daripada kalangan mereka yang bercakap tentangnya untuk mengupasnya secara ilmiyyah sehingga adakalanya membuatkan remaja dan pemuda salah faham yang seterusnya menyebabkan berlakunya pemikiran yang tempang dalam beragama.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan zina hati? Adakah jatuh cinta kepada seseorang itu dianggap zina hati? Adakah teringatkan seseorang itu zina hati? Mungkin sebahagian daripada kita akan menjawab: “Ya, itulah zina hati”. Apabila ditanya lagi mengapa itu zina hati? Jawab mereka: “Kerana kita mengingati seseorang yang ajnabi (bukan mahram) yang tidak halal buat kita”!!!

Kalau anda meletakkan sebab pengharamannya adalah kerana dia ajnabi tidak halal bagi kita, bagaimana anda mahu menafsirkan firman Allah dalam Al-Qur’an tentang Sahabat Nabi yang teringatkan perempuan ajnabiyyah yang tidak halal buatnya?

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke-235:

عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ سَتَذْكُرُونَهُنَّ وَلَكِنْ لا تُوَاعِدُوهُنَّ سِرّاً إِلَّا أَنْ تَقُولُوا قَوْلاً مَعْرُوفاً
Dalam ayat ini dan ayat sebelumnya, menceritakan tentang عدة / iddah (tempoh suci) perempuan yang bercerai dengan suaminya. Kemudian ada lelaki ajnabi yang mengintai-intai peluang untuk melamar perempuan ini. Lalu Allah berfirman ((Allah Maha Mengetahui bahawa kamu akan mengingati perempuan tersebut, tetapi jangan kamu berjumpa dengan perempuan itu secara rahsia kecuali dengan berkata-kata perkara yang baik.

Syed Qutb dalam tafsirnya berkata: “Dan Allah telah mengharuskannya kerana itu berkaitan dengan kecenderungan fitrah yang halal pada asalnya, harus pada zatnya … dan Islam itu tidak menghancurkan kecenderungan fitrah tetapi membajainya, dan tidak menekan naluri kemanusiaan tetapi mengawalnya. (Rujuk Fi zilali Qur’an oleh Syed Qutb, jilid 1, m/s 238).
Bukankah perempuan yang baru berpisah dengan suaminya merupakan perempuan ajnabiyyah kepada lelaki lain yang mahu melamarnya??? Tapi mengapa Allah langsung tidak mengatakan kepada lelaki ajnabi itu tak boleh mengingati perempuan tetapi hanya berpada dengan berkata (Allah Maha Mengetahui bahawa kamu akan mengingati perempuan tersebut tetapi jangan kamu berjumpa dengan dia secara rahsia).
Justeru apa yang dapat difahamai daripada ayat tersebut adalah: Tiada masalah dalam mengingati perempuan tersebut, tapi jangan fikir nak buat yang bukan-bukan yang bertentangan dengan syarak’. Itulah apa yang sepatutnya difahami daripada firman Allah tersebut.

Kalau mengingati perempuan yang ajnabiyyah itu zina hati, tentunya Allah melarang para sahabat daripada mengingati perempuan, tetapi Allah sendiri tidak melarang bahkan memberi izin.

Justeru, yang dimaksudkan dengan zina hati itu adalah hati yang menaruh niat untuk berzina, menikmati hubungan persetubuhan luar nikah. Itu yang dimaksudkan dengan zina hati. Rujuk kembali konteks hadith berkaitan zina hati secara keseluruhan. Tidakkah di pengakhiran hadith tersebut Nabi ada menyebut:
وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ وَيُكَذِّبُهُ
Maksudnya: (dan kemaluan itu mengiyakan atau mendustakannya). Bermakna semua perkara daripada tangan, kaki, telinga, mata, lidah, hati yang menuju ke arah persetubuhan haram barulah dipanggil dengan zina. Sebab itu disebut di pengakhiran hadith (Kemaluan itu yang akan menentukan berlaku atau tidak berlakunya zina).
Sebab itu Ibnu Mas’ud menambah dengan katanya:
"فإن صدقه بفرجه كان زانيا وإلا فهو اللمم" أخرجه البيهقي في شعب الإيمان (5/393، رقم 7060
Maksudnya: “Jika dia mengiyakannya (kehendak berzina) dengan kemaluannya maka dia menjadi penzina, jika tidak maka itu adalah Al-Lamam (dosa kecil)”. Dikeluarkan oleh Imam Baihaqi dalam kitabnya Shu’abul Iman (5/393, no 7060).

Jadi, zina kecil yang disebutkan itu adalah yang mengarah pada hubungan kelamin luar nikah. Oleh itu, melihat bukan mahram bukanlah serta-merta boleh digolongkan sebagai zina mata. Yang tergolong “zina mata” adalah pandangan yang menggoda dan penuh syahwat.

Dengan itu juga, menyampaikan kata-kata mesra kepada bukan mahram bukanlah semestinya tergolong sebagai “zina lisan”. Yang tergolong sebagai “zina lisan” adalah kata-kata pujuk rayu dan godaan kepada nafsu berahi.

Begitu juga halnya dalam masalah mengingati atau merindukan si dia atau pun merasakan getaran di hati ketika memikirkan si dia, bukanlah serta merta boleh tergolong sebagai “zina hati”. Pengertian “zina hati” adalah mengharap dan menginginkan kepada persetubuhan luar nikah sebagai memenuhi syahwat. 



“Melihat perempuan itu haram”

“Mendengar suara perempuan itu haram”

“Mengingati bayangan perempuan itu haram”

“Semua itu adalah zina”

Biasa mendengar klausa-klausa kata sebegitu?...hehe. Banyak kali dengar kan? Mungkin agaknya mereka mahu menjadikan perempuan itu sebagai makhluk haram di atas planet bumi ini, dan bagi perempuan pula mereka mahu menjadikan makhluk lelaki sebagai makhluk haram di atas planet bumi ini.

Sampai begitu sekalikah pandangan anda tentang pengharaman segala yang datang daripada perempuan atau segala yang datang daripada lelaki? Sedangkan khinzir pun tidak sampai ke tahap itu diharamkan dalam Al-Qur’an. Yang hanya diharamkan adalah makan dagingnya sahaja.

Apakah sebenarnya pengharaman dalam masalah perhubungan antara lelaki dan perempuan? Adakah perempuan itu haram semata-mata kerana dirinya حرام لذاته / haram lizatihi, atau haram kerana perkara luaran lain حرام لغيره / haram lighairihi?

Melihat perempuan itu haram sebab apa? Adakah semata-mata pandangan kepada perempuan itu haram atau pandangan itu haram disebabkan unsur luaran lain?

Tentunya pandangan yang diharamkan adalah pandangan yang disertai dengan syahwat, pandangan yang menggoda dan bernafsu. Itulah sebab kepada pengharaman pandangan bukan semata-mata kerana pandangan biasa.

Suara perempuan itu haram sebab apa? Adakah semata-mata suara kepada perempuan itu haram atau suara itu haram disebabkan unsur luaran lain?

Tentunya suara yang diharamkan adalah suara yang dilunakkan untuk menarik perhatian, suara manja mendodoi, suara-suara gedik. Suara sebegitulah yang diharamkan bukan semata-mata suara biasa.

Mengingati perempuan itu? Adakah semata-mata ingat kepada perempuan itu haram atau ingatan itu haram disebabkan unsur luaran lain?

Tentunya ingatan yang diharamkan adalah ingatan yang membayangkan keseksian susuk tubuh perempuan, membayangkan untuk bersetubuh dengan perempuan dan bayangan yang membangkitkan berahi. Ingatan dan bayangan sebegitulah yang diharamkan bukan semata-mata ingatan biasa.

Itulah hal-hal yang dipanggil zina kecil. Pengakhiran yang menentukannya adalah kemaluannya sama ada menjebakkannya ke kancah perzinaan hakiki atau tidak.




CONTOH-CONTOH KEKELIRUAN

1) "Astaghfirullahalazim! Apa yang telah aku lakukan? Bukankah berhubung dengan berlainan mahram sehingga membibitkan perasaan cinta itu HARAM berdosa"

Komen saya: Alangkah jahilnya. Bagaimana mungkin perasaan cinta yang timbul dalam hati itu dianggap haram dan berdosa???

2) Zinanya hati ini berlaku apabila hati kita menginginkan sesuatu yang haram bagi kita secara berlebih-lebihan. Sebagai contoh, keinginan itu seperti ingin dirindui, dicintai, dibelai, mengingati si dia lebih daripada kita mengingati Tuhan.

Komen saya: Masih gagal memahami maksud zina hati dengan baik. Yang pertama katanya zina hati adalah: Menginginkan perkara haram secara berlebihan. Kalau begitu, menginginkan perkara haram secara tak berlebihan tu kira oklah ya???

Yang kedua, contoh yang diberikan itu satu pun tidak termasuk dalam zina hati, hal-hal itu bukan termasuk dalam bab zina hati, tetapi termasuk dalam bab lagho dan melakukan perkara yang harus dengan berlebihan.

3) Seorang lelaki teringatkan perempuan, itu zina hati kan? Saya pun kurang jelas dgn konsep zina hati ni. Jadi maknanye kalau teringat saja kat bukan mahram kite tu dah kira zina ya? Satu lagi, lelaki tersebut sahaja yg berdosa atau pun keduanya?

Komen saya: Lelaki ingatkan perempuan itu zina hati? Perempuan ingatkan lelaki zina hati? Heheh… luasnya skop. Kalau macam tu, lelaki lepas ni janganlah ingat kepada ustazah kat sekolah, perempuan pula jangan ingatkan ustaz kat sekolah. Itu semua zina hati tu, berdosa tau tak…hehe. Come on lah, sudahlah maksud zina hati itu pun tak faham, mudah-mudah sahaja memberi pandangan.

Adapun soal siapa yang berdosa dalam hal ini, jawabnya tiada sesiapa yang berdosa baik lelaki mahupun perempuan kerana itu bukan zina hati.

4) Saya ada kemusykilan di sini. Seandainya pasangan ini sudah berniat untuk berkahwin, adakah rindu antara mreka juga dikatakan zina hati?

Maka menjawablah seorang ustazah: “Yap!! selagi belum berkahwin”.

Komen saya: Soalannya bagus. Tetapi jawapan yang diberikan oleh ustazah itu cukup mengecewakan. Ustazah, tolonglah fahami maksud zina hati itu dengan baik sebelum memberikan jawapan. Boleh ustazah?

5) Dalam tak sedar, kita boleh melakukan zina. Benda yang kita tak nampak, tapi dosa besar. Dalam diam, kita dah lakukan zina. Bukan dari luaran, tapi dalaman. Astghfirullahala'zim. Kita sekarang terlalu terdedah dengan benda-benda yang lagho. Lupa mengingati Allah.

Komen saya: Dosa besar??? Sejak bila pula zina tangan, kaki, mata, mulut, hati itu tergolong dalam dosa besar??? Telah saya jelaskan bahawa itu semua termasuk dalam kategori dosa kecil yang disebut sebagai Al-Lamam. Dosa sebegini terampun hanya dengan melakukan perkara kebaikan biasa seperti berwudhuk, solat, zikir dan sebagainya lagi tanpa memerlukan taubat khusus.

Soal lagho dan lupa mengingati Allah itu soal lain. Kalau nak bercerita tentang lupa mengingati Allah ni, semua manusia tidak terlepas termasuklah para sahabat Nabi terdahulu kerana kita adalah manusia bukan malaikat. Cubalah menjadi manusia yang baik, jangan cuba menjadi malaikat.

Seorang sahabat Nabi bernama Hanzalah mengadu kepada Nabi dengan berkata: “Wahai Nabi, sesungguhnya Hanzalah telah menjadi munafiq”. Nabi berkata: (Apa maksudmu?). Kata Hanzalah: “Apabila kami berada bersama Kamu, kami ingat kepada Akhirat, tetapi apabila kami pulang bersama keluarga, anak-anak, dan harta kami, kami banyak lupa”. Sabda Nabi: (Demi Allah yang diriku dalam kekuasaanNya, kalau kamu terus kekal seperti hal kamu ketika bersamaku, nescaya malaikat akan berjabat tangan dengan kamu di bilik kamu dan jalan-jalan. Tetapi Hanzalah, ada masa masanya). Riwayat Imam Muslim (8/95, no 4937)

6) Jika kita rindu seseorang ajnabi kerana kita memang couple dengan dia, tak kiralah berjumpa atau tidak, itu dikira zina hati. Kalau tak couple, tapi mungkin minat, dan lama-lama jadi rindu jika tak berjumpa, pada mulanya fitrah, tetapi apabila tak dikawal, dielak, tak mujahadah, itu boleh menjadi zina hati.

Komen saya: Pulak dah, ada beza pula ya antara yang bercouple dengan tak bercouple. Jawapan yang langsung tiada asas ilmu, sekadar mengagak-agak.

7) Saya selalu digosip kawan-kawan dengan seseorang, bila nama orang tu disebut-sebut, saya akan teringat kepada dia dan ini menyebabkan saya terpalit dengan dosa zina hati kerana mengingati seseorang yang bukan mahram dengan saya. Astaghfirullah, moga-moga Allah mengampuni dosa saya.

Komen saya: Oh ya ke, kalau begitu lepas ni janganlah ingat langsung kepada sesiapa yang bukan mahram anda. Sepupu anda, cikgu anda, pak guard sekolah anda, perdana menteri Negara anda, kerana itu semua bukan mahram anda tu. Zina hati tu… Hai, mudah-mudah saja membuat hukum ya.

8) Nak tanya sekejap. Zina hati tu dikira apabila kita teringat seseorang yg berlainan jantina untuk seketika atau teringat selalu hingga termenung?

Menjawablah seorang rakannya: “Teringat seketika atau selalu tetap salah. Sebab kita ni kena selalu ingat kepada ALLAH”.

Komen saya: Hohohoho…I’m speechless. Tak sangka, ada juga jawapan sebegini. Teringat seketika pun tak boleh ya, kena selalu ingat Allah sepanjang masa 100 peratus ya. Macam tu sahabat Nabi pun kalah dengan awak. Hebat betul awak ya, sama taraf dengan malaikat.

Dalam Al-Qur’an pun Allah tak suruh kita ingat kepadaNya sentiasa kerana itu adalah perkara yang mustahil dan ulama menyebut bahawa Allah tidak sekali-kali membebankan manusia dengan perkara yang mustahil untuk dilakukan.

Sebab itu, Allah hanya menyuruh kita supaya banyak ingat kepadaNya, bukan selalu ingat kepadaNya. Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab, ayat ke-41:

((يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْراً كَثِيراً))
Maksudnya: ((Wahai orang-orang yang beriman, ingatilah Allah dengan ingatan yang banyak)). 






Tidak dinafikan, adakalanya mereka yang baru menceburkan diri dalam bidang dakwah atau mereka yang baru menemui jalan keinsafan, mereka mempunyai semangat yang meluap-luap berjuang untuk Islam. Tapi masalahanya semangat yang meluap-luap tanpa latar belakang ilmu yang kuat boleh menyebabkan perjuangan yang dibawa itu merosakkan lebih daripada membaiki.

Semua tak boleh, itu zina, ini zina, itu haram, ini haram sehingga menyempitkan ajaran Islam yang luas dan membesar-besarkan perkara lebih daripada skop asalnya.

Walhal manhaj dakwah yang sebenarnya adalah manhaj berasaskan وسطية /wasatiyyah (pertengahan). Tidak dinafikan, kalau orang itu dilihat mempermudah-mudahkan urusan agama maka kita perlu memberikan peringatan keras kepada mereka. Sebaliknya pula kalau orang itu dilihat terlalu memayah-mayahkan agama maka kita perlu memudahkannya bagi mereka. Namun, semua itu perlu dilakukan atas dasar ilmu. Bukan sewenang-wenangnya.




Akhir kata, semoga segala penjelasan itu dapat dicerna dengan baik. Andai timbul sebarang persoalan tak faham lagi berkenaan zina hati, maka bak kata rakan saya: “Sila hantukkan kepala anda ke dinding”….hehe sekadar bergurau. Jangan lagi membesarkan isu lebih daripada skop yang sepatutnya.

Sememangnya muhasabah diri sama ada terpalit dengan dosa atau tidak itu memang sesuatu yang bagus. Tapi men’dosa’kan diri dengan perkara yang bukan dosa itu bukan daripada ajaran agama, itu adalah ta’annut dan tasyaddud yang ditegah dalam beragama.

Islam tidak datang untuk menjadi musuh kepada naluri dan perasaan manusia tetapi untuk memberikan pedoman dan tunjuk ajar supaya manusia dapat mengawal naluri dan perasaannya ke arah kebaikan. Dengan itu dapatlah kita menjadi manusia yang baik bukan menjadi malaikat yang baik.

Sekian, wassalam.