Sunday 17 August 2014

Kesusahan Itu Hadiah

Assalamualaikum


Hidup kalau tiada cabaran dan pengalaman memang rugi sesangat. Sebab hanya dengan cabaran dan mengalaminya sendiri barulah kita dapat merasa, memahami, dan menjiwai hati kita sendiri dan juga orang lain. Jika kehidupan kita sekarang selalu senang, sentiasa rasa bahagia dan sentiasa dibantu sepatutnya kita berasa resah. Takut bila tsunami melanda tanpa memberi amaran, kita terumbang-ambing tanpa daya.

Akan tetapi ada yang tidak pernah menyedari bahawa setiap dugaan yang menimpa sebenarnya untuk membuka minda dan hati kita dengan lebih luas. Mereka berasa tidak puas hati dan merungut serta menyesali sesuatu yang sudah berlalu. Malah mereka memberontak dan menyalahkan orang lain atas apa yang terjadi. Mereka tetap ingin menang dan memiliki apa yang tidak ditakdirkan untuknya tanpa mengetahui bahawa sesuatu yang disukainya itu sebenarnya amat merbahaya untuknya akan datang.

Jika dulu kita dilahirkan dalam kehidupan yang susah dan tidak bahagia seperti orang lain, kita sepatutnya berbangga kerana kita dapat mengharunginya. Ketika orang lain bergembira kita hanya mampu melihat, ketika orang lain berbahagia kita hanya mampu tersenyum hambar. Saat itu diri dan hati kita telah menjadi kebal malah lebih kuat untuk mengubah kehidupan.

Andai suatu hari dugaan melanda lagi, kita tidak mudah dihanyutkan arus malah hati yang cekal sudah siap sedia menahannya. Bibir hanya tersenyum hambar dengan hati yang tenang tanpa secubit rasa tertekan. Hal-hal kecil dalam kehidupan bagaikan semut api merah, sekali pijak sudah mati. Orang lain yang sentiasa senang bagaimana pula? Mereka tidak akan dapat membuat penyelesaian sendiri tanpa bantuan orang lain. Mereka lemah tidak bermaya sehinggalah setiap dugaan yang menimpa bertimpa-timpa itu mematangkan dirinya.

Beruntunglah jika dari awal kita hidup menderita, mungkin suatu hari dengan kesungguhan dan pertolongan dari Allah kita akhirnya dapat merasa apa itu kesenangan dan kebahagiaan. Sentiasalah bersangka baik, berdoa, dan berusaha menggapai impian.


Thanks 4 reading my entry!

No comments:

Post a Comment