Apabila kita menyentuh sifat jati diri, lazimnya sifat tersebut
dibandingkan dengan lalang, iaitu sejenis tumbuhan yang hidup di
merata tempat. “Jangan jadi seperti lalang yang melentuk ke sana ke
sini apabila ditiup angin. Kita perlu memiliki jati diri yang tidak
mudah melentuk umpama lalang!”, demikian pesanan yang selalu diberi.
Akan tetapi kali ini berbeza, Ahmad tidak akan membandingkan
sifat jati diri dengan lalang. Sebaliknya Ahmad akan mengumpamakan
jati diri dengan lalang. Ya! Untuk Remaja Islam,kita harus memiliki jati diri,
kita perlu mencontohi lalang. Agar kita lebih memahami bagaimana sifat jati diri boleh diumpamakan
atau dicontohi dengan merujuk kepada lalang, mungkin di
antara pembaca ada yang tidak menyedarinya.
Analogi
lalang dengan tarbiyah? Sekuat mana pembuktiannya. Apabila memerhatikan
lalang dipetang senja kelmarin, teringat kepada sahabat-sahabat di Kolej Islam As-Sofa, Ampang. Dikesempatan ini Ahmad selaku Alumni KIS ingin mengucapkan kepada seluruh pelajar baharu intake June 2015 dengan lafaz "Ahlan wa sahlan wa marhaban bikum! Marhaban Bi Wasiyati Rasulillah saw ke dalam keluarga AS-SOFA, semoga dengan kehadiran kalian mampu menguatkan lagi benteng ASWJ, dan mampu merealisasikan harapan Syiekhna iaitu Dato' Syiekh Muhammad Fuad Bin Kamaluddin Al-Muhammadi untuk melahirkan kader-kader Ahli Sunnah Wal Jamaah".
Berbalik kepada tajuk kita, diri ini
terfikir seketika. Semak. Tidak berguna. Tetapi apabila berfikri
sejenak, memerhati lalang apabila melentok ke kiri dan ke kanan dibawa
oleh arus angin. Terbit bayangan tersirat daripada alam ciptaan ALLAH yang selalu berkait rapat dan tidak pernah lari dengan kehidupan manusia.
Lalang
mempunyai kekuatan yang tidak ada pada tumbuhan lain. Ia hidup secara
berjemaah dan kelihatan indah mendatari lapangan bumi dan gunung-ganang.
Kehadirannya memberi perlindungan buat jemaah serangga di bawahnya.
Memberi manfaat yang besar yang tidak dapat dilihat oleh mata. Memang
lalang sering dipijak dan disakiti, tapi ia akan cepat bangkit dan
menyembuh dengan sendiri. Ia tidak memerlukan kudrat makhluk lain untuk
hidup. Ia berdikari dalam kehidupannya. Tawakalnya hanya pada ALLAH.
Lalang
juga boleh dikategorikan sebagai tumbuhan yang tahan lasak. Walaupun
ditiup angin taufan sekalipun. Lalang tidak sesekali akan tumbang. Hanya melepaskan
kabus-kabus putih keindahan di pucuknya. Yang berterbangan mengikut arus angin.
Tetapi lalang itu sendiri tetap teguh di situ. Memperbaiki struktur yang
bengkok tadi akibat ditiup angin dan kembali kepada asal semula, mungkin ini perumpamaan seorang Murabbi yang mendidik tanpa pernah kenal erti penat walau dimaki, caci, fitnah dek memperjuangkan ASWJ, beliau ia tetap gagah.
Pokok
kayu yang besar, yang memiliki akar yang hebat,dikagumi makhluk di
sekelilingnya,namun apabila ditebang bertukar menjadi tunggul yang tidak
berguna. Lalang yang kerdil, menumpang atas bumi Tuhan, namun apabila
ditebas,tetap mara teguh berusaha untuk bangun daripada kesakitan dan
menjadi entiti yang lebih kuat berbanding sebelumnya. Dapat tumbuh di
mana-mana,di pergunungan, dataran, tepi jalan dan di mana sahaja tidak
mengira bentuk muka bumi. Kehadirannya memberikan manfaat buat mereka di
sekelilingnya, mengembalikan nutrien dalam tanah dan menghijaukan bumi.
Ia juga melindungi tanah ketika hujan supaya tanah kekal terpelihara di
tempatnya.
Pentarbiyahan daripada lalang memberikan kita kesedaran tentang hakikat
kehidupan seorang pejuang.Setiap makhluk yang diciptakan mempunyai
kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Meliuk lintuk lalang bukan
bermakna tiada pendirian,tetapi pandai menyesuaikan diri dengan arus
semasa dengan pendekatan yang terbaik. Kita hidup secara
bermasyarakat,dan saling melindungi antara satu sama lain. Walaupun
kudrat lalang begitu terbatas,pengorbanannya menahan hujan daripada
menimpa tanah harus dicontohi. Umpama ibu melindungi anaknya. Umpama
pemimpin melindungi rakyatnya. Umpama sahabat melindungi temannya.
Jadilah insan yang sentiasa bersyukur dengan apa yang ada dan merendah
diri di atas muka bumi. Walau berkali-kali kita disakiti,segera bangkit
dan teruslah menyebarkan manfaat dan berbakti. Kerana setiap perkara
yang dilakukan bukanlah diukur dengan mata manusia tetapi dengan
piawaian ALLAH seikhlas hati. Jiwa-jiwa yang ditarbiah tidak akan luntur dan akan terus menegakkan
yang hak. Analoginya mudah sahaja. Perhatikan lalang yang tiup angin
taufan. Jadilah kita seperti lalang,sahabatku.

~Apabila
sesuatu perkara dilakukan kerana dunia, maka ia hanya bersifat tidak
kekal dan sementara dan apabila sesuatu dilakukan kerana ALLAH, maka ia
akan bersifat teguh dan ampuh~
Selamat
datang sekali lagi kepada adik-adik baru seperjuangan bagi meneruskan rantai
perjuangan ASWJ ini,dan jadikan diri kita seumpama lalang. Semoga setiap kali pembaharuan perjanjian kita kepada
ALLAH akan menguatkan lagi jiwa dan keikhlasan kita dalam perjuangan di
jalan ini. Di mana sahaja kita berada, ke mana sahaja kita pergi, sudah agak
pasti kita akan menemui lalang. Jangan berpaling begitu sahaja,
sebaliknya renungilah ia dan jadikanlah ia sebagai sumber iktibar
mengukuhkan jati diri kita sebagai umat Islam. Sebagai manusia kita
sering lupa atau terlanjur, maka lalang sentiasa ada untuk
mengingatkan semula kejatian diri kita. Ingat! ALLAH tidak mencipta sesuatu untuk sia-sia melainkan ia
memiliki hikmah dan manfaat untuk kita.